spot-the-fake-icon
GALLERY
News Clipping
JUAL UBAT TIRUAN, WARGA TEMPATAN DITAHAN1
THE STAR/ASIA NEWS NETWORK, 2018
news

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching, Superintendan Rosdi Inai (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan Ops Libas yang telah dilakukan semalam

KUCHING: Padah menjual ubat tiruan, seorang lelaki warga tempatan ditahan Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Ops Libas di sebuah rumah Jalan Stutong Stampin Baru semalam. Lelaki berusia 42 tahun itu dipercayai pemilik tempat memproses ubat-ubatan tiruan di mana bahan-bahan diseludup daripada negara China untuk dipasarkan ke pasaran tempatan.


Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching, Superintendan Rosdi Inai berkata serbuan dilakukan pada jam 4 petang tersebut disertai 13 pegawai dan anggotanya bersama empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta lima pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati rumah tersebut menjadi markas pemprosesan ubat tiruan dan sejumlah lebih RM957,000 produk tersebut telah dirampas. “Pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menjumpai barang-barang pemprosesan dan ubat-ubatan dipercayai tiada kelulusan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). “Penjaga kedai turut ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen dan kebenaran memproses ubat berkenaan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.


Katanya, tangkapan dan barang rampasan masing-masing diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching dan KKM bagi siasatan lanjut mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952. Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penjualan ubat-ubatan yang tidak mendapat kelulusan daripada KKM terlebih dahulu bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku. Ujarnya, mana-mana masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan penyeludupan haram dapat menyalurkan segera perkara berkaitan kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Reference:
1. Jual ubat tiruan, warga tempatan ditahan. Suara Sarawak news (Sept 2019). Available at: https://suarasarawak.my/2019/09/13/jual-ubat-tiruan-warga-tempatan-ditahan/. Accessed on: 20 March 2020.

BACK TO GALLERY