spot-the-fake-icon
GALLERY
News Clipping
JUALAN UBAT TIDAK BERDAFTAR DALAM TALIAN MEMBIMBANGKAN1
Sabtu, 5 Oktober 2019 | 4:27pm
news

KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (empat dari kanan) merasmikan Program Santuni Rakyat, Kenali Ubat Anda sempena Sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA SELANGOR: Pengguna di negara ini dinasihatkan lebih peka dan berhati-hati sebelum membeli sebarang produk kesihatan secara dalam talian. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ketika ini, penjualan produk kesihatan dan ubat tidak berdaftar secara dalam talian semakin membimbangkan berikutan ia memudahkan pengguna mendapatkan ubatan berkenaan.


Katanya, ia berbanding dahulu apabila pengguna perlu sendiri ke farmasi atau kedai ubat untuk mendapatkannya tetapi pada hari ini ia boleh didapati hanya dengan menggunakan internet di rumah tanpa mengira waktu dan tempat. “Bagaimanapun, trend itu juga mendedahkan pengguna kepada risiko mendapat ubat tidak berdaftar, ubat tiruan, ubat dicampuri racun berjadual dan sebagainya,” katanya merasmikan Program Santuni Rakyat, Kenali Ubat Anda sempena Sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Dewan Dato’ Penggawa Permatang di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi merangkap Penasihat Jawatankuasa Induk Program Sambutan Hari Farmasi Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019, Dr Ramli Zainal dan Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim. Dr Noor Hisham berkata, sejak awal tahun ini sehingga September lalu, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi berjaya merampas sejumlah RM31 juta produk tidak berdaftar. “Rampasan itu turut merangkumi produk tidak berdaftar yang mengandungi racun berjadual, produk-produk tradisional dan juga produk kosmetik,” katanya.


Justeru, beliau berkata, bagi menangani masalah ini, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM menubuhkan satu Seksyen Inteligens dan Forensik Siber pada 2014 untuk mengawal penjualan produk-produk farmaseutikal dan kosmetik dalam talian. “Seksyen ini bertanggungjawab menyelaras dan memberi bantuan dalam aspek sokongan teknikal bagi kes-kes yang membabitkan internet dan aplikasi dalam talian termasuk mengumpul maklumat digital untuk tujuan tindakan penguatkuasaan. “Selain itu, satu pasukan bertindak ditubuhkan untuk menganalisis aktiviti internet termasuk memantau dan menyiasat aktiviti penjualan produk farmaseutikal di alam maya,” katanya.


Beliau berkata, KKM melalui Program Perkhidmatan Farmasi terus menggiatkan aktiviti kesedaran pengguna melalui Kempen Kesedaran Waspada Pembelian Ubat Online. Katanya, kempen itu dijalankan sepanjang Oktober ini, bertujuan memberi pendidikan kepada orang awam akan risiko pembelian ubat secara dalam talian. “Kempen ini juga turut menekankan kepada orang awam agar sentiasa menyemak terlebih dahulu maklumat yang terkandung dalam iklan ubat di internet dengan memastikan produk yang diiklankan berdaftar dengan KKM serta iklannya diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat,” katanya.

Reference:
1. Jualan ubat tidak berdaftar dalam talian membimbangkan. Berita Harian (Oct 2019). Available at:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/614358/jualan-ubat-tidak-berdaftar-dalam-talian-membimbangkan. Accessed on: 20 March 2020.

BACK TO GALLERY